#82 Ustaz Abdul Somad

Baru-baru ini, semasa melayari YouTube, saya terjumpa video Ustaz Abdul Somad. Masa tu, belum kenal lagi siapa dia.

Terdetik di dalam hati nak 'play' video beliau. MasyaAllah. Ternyata Ustaz dari Riau ini sangat alim. Penyampaian beliau sangat bagus. Ilmu beliau sangat besar. Dan hikmah beliau sangat luas.

Mirip sekali penyampaiannya dengan Ustaz Azhar Idrus. Dan mulai hari itu, saya sering mencari video-video beliau di YouTube.

Banyak ilmu, pengajaran dan peringatan yang berguna.

Buka sahaja YouTube, dan cari "ustaz abdul somad", insyaAllah bermacam keratan video yang ada.

Cuma tinggal untuk kita dengari sahaja.

#81 Susahnya nak solat

Mengapa kita rasa susah sangat nak solat? Dan mengapa kita rasa 'okey-okey' sahaja bila kita menginggalkan solat?

Benda ni menyedihkan sebenarnya. Kita berkeinginan masuk syurga tapi kita tak buat perkara paling penting di dalam agama, iaitu bersolat.

Pertama, apa hukum solat? Jawabnya fardu ain. Iaitu kewajipan yang dimestikan, yang tiada alasan untuk kita meninggalkannya.

Tak kiralah kita sakit, musafir mahupun darurat (seperti tak ada air, tak tahu kiblat, pakaian kotor, dan sebagainya).

Betapa seriusnya solat ni hinggakan di dalam medan peperangan pun kewajipan ini tak diangkat.

Tapi kita yang banyak masa lapang ini, pun tak bersolat.

Orang miskin, pengemis, gelandangan, dan muflis, pun masih wajib solat.

Sahabat Nabi S.A.W ada yang tiap kali lepas habis solat, dia cepat-cepat balik ke rumah. Sampaikan Nabi S.A.W pelik dan tertanya-tanya.

Tahu apa yang sahabat ini jawab?

"Aku dan isteriku hanya ada sehelai kain ini sahaja. Lalu jika aku nak bersolat, maka aku pakai dan sesudahnya isteriku akan pakai untuk bersolat".

Rasanya dalam dunia ni tak akan ada lagi orang yang miskin seteruk itu.

Tapi kita yang memiliki kerja yang bagus, gaji lumayan, rumah sendiri, kenderaan yang bagus, dan ada pula zuriat, masih tak mahu solat.

Alasan kita apa?

Orang sakit, adakah mereka diwajibkan solat? Jawapnya YA.

Ikut kemampuan mereka. Tak boleh berdiri, duduk. Tak mampu duduk, mengiring. Tak mampu mengiring, berbaring. Tak mampu bergerak langsung, cukup dengan pergerakan anak mata.

Selagi akal masih waras, selagi itu solat masih diwajibkan. Biarpun kaki dah kaku, tangan dah tak mampu.

Kita yang muda, sihat, dan sempurna anggota tubuh ini pun masih ego, sombong, dan tak terasa malu meninggalkan solat.

Aduhai, apa lagi alasan kita.

Semetelah bersolat pun, adakalanya seperti melepaskan batok di tangga. Asal buat, kata kita.

Ada yang solat tanpa toma'ninah. Solatnya laju seumpama 'bullet train'. Entah apa dia baca, kita pun tak dapat nak agak.

Pernah dahulu seorang pemuda bersolat di hadapan Nabi S.A.W. Selesai dia bersolat, Nabi S.A.W menyuruhnya untuk bersolat.

"Kamu belum bersolat", beritahu Baginda.

Pemuda itu pun mengulang bersolat. Sampai 3 kali. Akhirnya dia menyerah.

"Beritahu aku, apa kesalahanku dalam solat".

Rupanya solat itu tiada toma'ninah. Laju hingga hilang ketertibannya.

Ada pula yang bersolat tetapi fikirannya dibiarkan melayang. Hingga tak tahu apa yang dibaca. Jauh sekali memahaminya.

Jasadnya sedang bersolat tapi fikirannya berada di negara lain, sedang khayal dengan sejuta macam pekerjaan.

Kelalaian dalam solat sebegini sangatlah serius dan menerima ancaman azab neraka.

Solat yang sepatutnya dijaga dengan penuh waspada, rosak dalam sekelip mata.

Mana Allah tak marahnya.

Bersolatlah. Tak lama mana. Sedangkan Allah dah beri kita macam-macam atas dunia ni. Satu pun kita tidak bayar dan ganti.

Mungkin ibubapa kita sejak kecil tak pernah mendesak kita untuk bersolat. Itu salah mereka. Tapi kita bila dah dewasa ini, boleh fikir sendirilah sepatutnya.

Semoga Allah berikan kita hidayah dan taufik menuju ke syurga yang abadi.

#80 Hatimu dan amal kamu

Akhir zaman ni, ramai orang mahu bercakap hal agama. Tapi rupanya dia bengap, bodoh, dan jahil. Dia sendiri tak tahu apa yang dia cakapkan. Macam mana nak orang lain faham?

Contohnya, para 'pemberontak' agama. Pejuang LGBT. Para sosialis, liberalis, feminis, sekularis, dan pejuang hak asasi manusia.

Hadis daripada Abu Hurairah R.A yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amal-amal kamu".

Lalu berjoget sakan para pemberontak agama. Seronok kerana perasan kononnya dia berjumpa jalan pintas ke syurga.

"Tak penting tutup aurat ni. Yang penting hati kena baik",

"Tak apa tinggal puasa dan tak solat. Asalkan hati kita baik",

Padahal dalam diri sibuk 'claim' dan mengaku hatinya baik, rupa-rupanya hatinyalah yang paling busuk. Berlendir. Bernanah. Kotor.

Atas ukuran apa kita menilai hati?

Atas neraca apa kita menimbang kebaikan?

Padahal kita lupa yang Allah tetap memandang kepada amalan kita. Dalam hadis yang lain, ada disebut bahawa amalan yang akan dikira ialah di hujung usia.

Kerana itu dalam Islam, kita tak kisah sangat dari mana hijrah kita bermula. Allah maha pengampun dan penerima taubat.

Dia boleh padam segala dosa, kejahilan dan kebodohan kita yang silam.

Macam dalam kisah lelaki yang membunuh 99+1 orang nyawa. Akhirnya mati dalam usaha bertaubat dan Allah menerima rohnya dalam dakapan malaikat rahmat.

Memberontak dalam agama bukan perkara baharu. Sejak zaman Rasulullah dahulu dah ada 'rebel'. Tapi di zaman itu dipanggil munafik.

Nabi kenal setiap seorang, dan Baginda menyenaraikannya setiap seorang kepada Abu Huzaifah al-Yamani. Hinggakan sahabat boleh faham, kalau ada jenazah yang tidak diziarahi oleh Huzaifah, bermakna dia ada dalam senarai pemuka munafik.

Kita mungkin tak suka beberapa perkara dalam agama ini. Tapi kenapa perlu sampai menjadi rebel.

Apa yang kita benci sangat dengan Islam orang kita, sampai nak ditentang semuanya?

Ingat, tak semua benda baru itu betul. Dan tak semua benda yang kita 'argue' dan 'challange' itu cool.

So not cool, man.

Dah, jangan nak rebel sangat. Islam dah cukup cantik. Yang hodoh itu engkau.

#79 Harmoni

"Saya ada beramal dengan satu ilmu ni. Tak sampai seminggu, saya dah boleh terbang. Sungguh!"

Saya pandang muka penceramah tu. Tak ada tanda-tanda yang dia bergurau!

"Betul ni tuan-tuan. Saya boleh lompat dengan sangat tinggi. Macam terbanglah orang kata. Setakat tiang tu, memang senang je saya lepas", sambil tangannya menunding ke arah tiang di hadapan kami.

Tinggi!

Saya pandang muka para jemaah. Mereka terpinga-pinga. Ada yang tersenyum sendirian.

"Tap itu dulu lah. Masa saya muda dulu. Sekarang tak ada dah", penceramah itu senyum.

"Saya pun pelik. Ilmu apa yang saya belajar ni... Tak sampai seminggu beramal, dah dapat macam-macam. Jadi saya jumpa tok-tok guru, ustaz-ustaz, jadi mereka pun kata usahlah, tinggallah ilmu ni"

"Jadi saya pun tinggallah", dia bercerita lagi.

Saya memandangnya dengan pandangan polos. Niat di hati nak mendengar tazkirah, tapi tanpa sengaja terdengar cerita penglipur lara.

Saya bingung.

Bagaimana seorang yang bergelar Ustaz, diberi pentas untuk berceramah, dan menggunakan sumber dan harta surau, boleh diberi peluang untuk 'berjenaka' di pentas yang mulia itu.

Mungkin dia mahu mengajarkan moral. Seperti jangan belajar ilmu yang sembarangan, atau berhati-hati dengan perkara-perkara aneh dan ajaib.

Tetapi saya sangat merasakan yang ada beberapa perkara baik, lebih baik dibiarkan rahsia.

Kerana isu integriti. Tsiqoh.

Sejauh mana orang akan, atau mahu percaya kepada kita.

Jika aib kita yang dahulu tak siapa tahu, dibiarkan diketahui orang. Serupalah juga dengan orang yang mahu berhijrah.

Lebih baik jika cerita hijrah tidak disensasi kerana bimbang badai dan ribut fitnah mudah melanda hati.

Begitulah saya faham makna harmoni. Tak semua benda baik perlu kita cerita. Kerana takut kesannya tidak baik. Boleh membawa kepada fitnah, gaduh, caci maki, dan paling buruk, kafir-mengkafir!

Ingat pesan Nabi Yaakub kepada anak kesayangannya, Nabi Yusuf tatkala Nabi Yusuf datang bercerita akan perihal mimpinya kepada Nabi Yaakub.

"Rahsiakannya. Jangan beritahu tentang mimpimu ini kepada saudara-saudaramu"

Hati orang, kita tak tahu.

#78 Setia Dengan Kebenaran

Alhamdulillah. Tulisan Ustaz Hasrizal yang terbaharu ini telah saya khatam. Kulit ke kulit. Harapannya, kandungannya saya faham dengan bersungguh, dan melekat sungguh-sungguh di dalam hati.

Tidak seperti buku-buku sebelumnya, buku ini isinya lebih berat. Ada beberapa tajuk yang saya perlu baca dua hingga tiga kali, untuk difahami.

Banyak kritikan, teguran, dan nasihat beliau yang mengetuk saya daripada lalai dan lena.
Satu yang saya akan ingat adalah, soal tangan yang berkata-kata.
Berkata-kata, pada asalnya ialah perbuatan tangan. Tapi di abad ini, tangan juga berkata-kata.

Di laman-laman sosial, blog, dan forum.

Yang susahnya ialah bukannya berkata-kata. Yang susahnya ialah menahan diri daripada berkata-kata. Baik dengan mulut, atau dengan tangan.

Sangat susah sebenarnya bagi kita mengawal tangan daripada melemparkan komen.
Iyalah.

Kita kan ada pandangan kita. Jika dahulu tidak semua berupaya menyuarakan pandangannya, tapi hari ini tidak lagi begitu.

Jika dulu kita berfikir dahulu sebelum mengeluarkan pendapat kerana bimbang,
Tapi hari ini, kita sudah tidak ada kebimbangan.

Paling teruk pun, kita boleh 'delete' komen kita tadi.

Padahal paku sudah diketuk. Dicabut pun, dindingnya tetap rosak.
Ustaz Hasrizal juga memberi nasihat supaya kita bersikap kritis dalam membaca.

Contohnya, jika dibaca "Abu tidak puas hati dengan Ali",

Adakah 'tidak puas hati' itu ialah fakta, atau hanya analisa atau kesimpulan penulis/tukang cerita.

Jika ia fakta, sudah tentu ada sumber menyokongnya.

Tapi jika ia analisa, maka berapa banyak situasi yang boleh kita ambil contoh bagi memahami sifat Ali jika dia tidak puas hati.

Dengan cara itu jugalah, agamawan dilaga-laga. Ahli politik, usah cakaplah. Lebih dahsyat lagi.

Kita sedih, apabila agamawan pun sama terperangkap dalam lumpur ini.

Perangkapnya sama. Bukan yang bodoh saja terjerat. Yang sarjana pun sama terkena.

Kita baca, "Gempar! Ustaz Ali marah Ustaz Abu Bakar kerana duit derma"!

Kita baca, lalu timbul sentimen, "Jahatnya Ustaz Ali. Duit derma pun nak bolot"

Padahal "marah" itu bukan sebagai tengking, atau bergaduh. Tapi marah itu ialah teguran.

Tapi nasi dah menjadi bubur.

Dah ada wajah yang dilumur arang. Dah ada air muka yang dicemarkan.



Apapun, buku ini sangat kritis. Wajib dibaca. Setiap kritikan di dalam naskah ini sangat menghidupkan!

#77 Membunuh kesedaran.

Sering terjadi, kita menangis, sayu, insaf, dan sedih dipermainkan emosi. Mungkin kerana menonton filem, mendengar ceramah, membaca buku, atau sekadar memandang seseorang atau sesuatu peristiwa.

Lalu hati kecil kita berbisik, "Aku nak buat sesuatu".

Mungkin jika seputar kerinduan kepada ibubapa, dia berazam mahu pulang menziarah. Mungkin pada kiraan dosa pahala, dia mahu bertaubat. Mungkin pada perilaku, adab dan akhlak, dia mahu berubah.

Tapi azam cuma azam. Keinsafan cuma datang seketika. Tak sempat meninggalkan jejak. Dah hilang, tak sempat diambil kebaikannya.

Macam tu lah kita.

Selalu insaf. Selalu 'terkesan'.

Tapi balik dengar ceramah, pasang TV, sembang dengan kawan, baca mesej whatsapp, atau buka FB, terus lupa yang tadi kita berniat untuk perbaiki diri.

Terlupa pada nasihat penceramah itu.

Tak teringat dah pada sindiran, teguran, dan peringatan daripada al-Quran dan Hadis.

Keinsafan yang singgah sesaat.

Terbang melayang dek kerana 10 saat di Facebook,

Seminit berbual.

Sebaris balasan mesej whatsapp.

Dan sebaris senyuman menampakkan gusi.

Akhirnya ini menjadi rutin.

Esok pun insaf sekejap, lepas tu macam tak ada apa.

Lusa pun insaf, menitis air mata seketika. Tapi tak sempat nak buat pahala, dah kembali menjadi kita yang 'serupa'.

Dipermainkan oleh keseronokan dunia.

Nauzubillah.

Rasanya begitulah juga saya. Seringkali terpedaya. Baca buku, insaf sekajap. Ambil nafas panjang dan hela. Tapi apabila terganggu fokus seketika, tergugat juga iman.

Kebaikan yang mahu dibina, hancur berderai meninggalkan debu. Tak sempat beramal. Tak sempat bertindak.

Ya Allah, lemah sekali kami. Kamu Yang Maha Kuat. Bantulah kami untuk kami kuatkan hati kami.

Menjadi baik. Menjadi manusia mulia.

Amin Ya Rabb.

#76 Nikah Awal

Penghujung 2012 saya 'tahu' isteri saya sekarang. Tahu namanya, kakaknya, dan ibunya.  Diperkenalkan oleh kakaknya melalui Facebook sahaja. Selepas beberapa bulan baru berani add dia di Facebook. Tak lama lepas tu minta nombor ibunya daripada kakaknya dan acah-acah berani menelefon kerana mahu kenal dengan ibunya. (ayah mertua dah meninggal masa isteri saya kanak-kanak).

Tahun 2013, dijemput bertandang ke rumah oleh ibunya dan bapa saudaranya. Datang bersama seorang sahabat sebagai teman, dari selepas maghrib hingga sekitar jam 9 malam. Sayup-sayup saya nampa kelibatnya semasa menghidangkan makanan. Waktu tu masih tak berani mengangkat mata memandang. Dalam hati tertanya,"Aduh, tingginya dia ni".

Beberapa bulan selepas itu, keluarga saya pun  datang merisik. Saya tunggu di rumah kakak, tengok-tengokkan anak saudara. Diorang balik tu, diorang kata, "Weh comelnya Wani tu", sambil menunjukkan rakaman video upacara sarung cincin. "Tak padan la dengan mu, paksu. Mu tuu bukannya hensem", usik kakak yang lain. Saya buat-buat sombong kononnya tak nak tengok video tu, padahal dalam hati sangat teringin nak tengok muka dia. Berjubah merah.

Tahun 2014, saya datang beraya di rumahnya, juga bersama keluarga bapa saudaranya. Lama saya sampai tapi tunggu dalam kereta sahaja sebab bapa saudaranya belum sampai. Tak berani nak datang seorang diri. Juga tak sempat nak pandang dia kerana berborak dengan keluarganya.

Tahun 2014 juga, kali pertama jumpa dia untuk tukar barang pengantin. Dia beli pihak pompuan, saya beli pihak lelaki. Senang. Bab saiz, warna, brand, harga, semua atas pilihan sendiri. Dia pun dah kerja, jadi dia beli dengan duit dia. Saya beli dengan duit saya. Masa tu bulan Ramadhan, di bazar ramadhan masjid besi. Berjumpa di tepi jalan. Baca mesejnya, dia kata bawah pokok. Puas cari baru nampak. Tak perasan, ingatkan pokok. Lepas tukar barang terus balik.

Tahun 2014, bulan September, tup-tup dah nikah. Baru sempat dengar suara, tengok muka dia lama-lama. Eh rupanya cantik juga isteri aku ni. Sebelum ni cuma mampu tengok dalam gambar profile whatsapp photo je. Kat facebook pun ada gambar group je. Adalah gambar muka dia sebesar separuh jari kelingking. Tipulah kalau saya kata tak pernah tengok muka.
Bulan disember 2014, isteri dah mengandung.

15 Ogos 2015, Busyro Maisarah lahir. Saya jadi bapa. Umur masa tu 25 tahun dan isteri 26 tahun.

Tahun 2017, saya baca komen orang di Facebook: "Buat apa kahwin awal sangat bro. Enjoy lah dulu. Kenal-kenal lah dulu"

Padahal nak kenal apa lagi. Dah ke hulu ke hilir bersama. Dah  25 jam sehari bermain whatsapp dan bervideo call.

Semua benda dah tahu. Kadang-kadang benda yang tak patut tahu, pun dah (diberi) tahu.
Tapi nikahnya tak juga.

"Tak ada duit lagi", kata kita.

Tahun 2013 tu, saya baru bergaji (elaun) RM 800 sebulan. Tapi masa tu dah teringin nak bernikah. Nak sangat kahwin awal.

Jadi saya buat plan. Tahun 2014 saya mesti establish jadi LAE tapi apakan daya, ada halangan yang membuatkan saya terpaksa berhijrah ke syarikat lain.

Alhamdulillah. Sejak gaji pertama lagi saya dah mula menabung untuk kahwin. Memang masa tu makan pun masih berkira-kira. Kadangkala terpaksa berpuas hati dengan roti putih sahaja. Nak melancong jauh sekali. Tak ada peluang nak 'reward' diri sendiri.

Saya rasa, kita ni kalau serius nak kahwin, kita wajib fokus.

Kalau kata tak ada duit, kenalah menabung. Lama-lama banyaklah. Tak ada duit, cari. Bukan belanja.

Agak kontradik juga bila kata tak ada duit tetapi beli baju, hisap rokok, beli telefon, dan tiap-tiap hari makan di kafe hipster.

Kedua, kalau nak kahwin, kena minta dengan Allah. Kena selalu solat hajat, minta dengan Allah. Merayu denganNya supaya dimudahkan urusan kita dan dia. Minta Allah bukakan hati kita dan keluarga kita untuk membantu memudahkan urusan dan persiapan. Rajin-rajinkan diri datang majlis ilmu. Ilmu dapat, makan free pun dapat (kadang-kadang ada jamuan lepas isyak).

Ketiga, jangan buat maksiat. Kita ada sejuta alasan untuk menghalalkan 'dating'. Kononnya mak ayah dia sendiri beri izin. Tapi kita sendiri tahu, hati kecil kita ada rasa bersalah. Kita sendiri tahu, jiwa dan nafsu kita bergelegak. Kita tahu zina itu ada pecahannya. Ada zina mata, zina tangan, dan ada zina hati. Bab zina hati paling susah dijaga. Akhirnya melarat di whatsapp dan messenger. Jangan ditipu nafsu. Konon nak bincang pasal baju nikah, tapi tiba-tiba sampai kepada saiz baju pula. Kalau dilayan, tak mustahil akan melarat kepada saiz baju dalam pula!

Keempat, murnikan niat. Nikah pasal apa. Keinginan biologi sahajakah, atau spiritual juga. Sangat menipu jika mahu mengikut sunnah, tetapi tidak disiapkan ilmu agama. Lebih malang, bab solat pun belum selesai walaupun esoknya tarikh akad nikah.

Kelima, betulkan persepsi tentang perkahwinan. Beri sebanyak-banyaknya, bukan terima sebanyak-banyaknya.

Saya pelik bila orang kata, "Nak kahwin awal sebab tak tahan la tu", padahal orang yang "tak tahan" ialah orang yang tak sempat tunggu halal, dah buat benda haram. Mungkin tak sampai kepada zina. Tapi tangan dah sentuh. Mulut dah cium pipi. Lengan dah peluk pinggang. 

Duit pun dah banyak habis.

Akhirnya, tak kahwin-kahwin juga. Ataupun paling lucu, habis duit kepada jodoh orang lain.
Habis duit tak apa lagi. Habis keperawanan?

Kepada sahabatku yang baik, jika nak bernikah, ingat pesanan ini betul-betul.

Kita tak perlu berpendapatan tetap, tapi kita perlu tetap berpendapatan.

Jangan salahkan orang tua jika meletakkan syarat wang hantaran kerana mereka juga risau tentang masa depan anak mereka.

Macam satu taman bunga. Kalau tak dapat petik yang itu, petiklah yang lain. Bukan semua bunga berduri.

2017, kalau serius nak bernikah, fokuslah!

Dan lupa nak cakap. Cinta selepas nikah itu 'real'.

#76 Hidayah | Petanda Allah Sayang

Ada dua lelaki yang tidak pandai bersolat. Ditanyakan kepada mereka, "Kamu tahu tak hukum meninggalkan solat?".

Jawab mereka, tahu. Berdosa besar.

"Habis tu kenapa tak mahu solat?"

Kedua-dua mereka menjawab serentak, "Tak tahu. Terlupa"

"Tak nak belajar solat ke?"

"Saya mahu tapi saya malu. Dah tua-tua pun tak pandai solat lagi. Nanti apalah orang akan kata",

"Saya mahu! Boleh awak ajar saya sekarang?", balas seorang lagi.

Maka dua lelaki yang tak bersolat tadi hanya tinggal seorang sahaja.

Begitulah perumpamaan hidayah. Hidayah bukan 'tahu'. Hidayah bukan 'mahu'. Tetapi hidayah ialah jauh lebih daripada itu.

Betapa ramai manusia yang tahu maksiat itu berdosa.

Tetapi mengapa dalam tahu dan sedar pun masih tetap dibuat.

Kerana tiada hidayah.

Hidayah ialah cara Allah menunjukkan cinta-Nya kepada hamba. Dengan hidayah, sejahat-jahat manusia pun boleh menjadi sebaik-baik manusia.

Abi Talib, bapa saudara Nabi ialah contoh terbaik tentang manusia yang paling dekat dengan sumber hidayah, tapi tidak mendapat hidayah.

Hingga ketika nazak sekalipun, Rasulullah tetap merayu agar dia beriman. Tapi apa kata beliau?

"Aku percaya dengan setiap kata-katamu. Tetapi biar aku mati dalam agama nenek moyangku"

Sedihnya Rasulullah hingga Allah menegur dalam al-Quran, "Kamu tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang kamu sayang, sebaliknya hanya Allah yang mampu memberi hidayah kepada orang yang dia kehendaki".

Setiap hari kita minta di dalam solat, "Tunjukilah kami ke jalan yang lurus".

Kita meminta hidayah daripada Allah.

Kerana dengan hidayah daripada Allah sahajalah kita boleh mengenal, mana intan dan mana kaca.

Allah suka memberi kita hidayah, tapi kita yang culas dan cuai menjaganya.

Sebab itu hijrah itu menjadi mudah. Tetapi istiqomah itulah yang paling susah.

Mungkin kerana itulah syurga-neraka berada di hujung ajal. Kerana tak semua manusia yang dah dapat hidayah dalam hidupnya, dapat hidayah sebelum matinya.

Doakan saya yang makin hanyut dengan dunia.

#75 Pondan kaya Vs Pondan Chiw Kit

#75 Pondan kaya Vs Pondan Chiw Kit

Perkataan 'pondan', bila ditangkap oleh telinga, terasa sangat bahang negetifnya. Bayangkan pula bagi orang yang dituduh pondan. Diejek dan ditertawa. Pastinya lebih sedih, malu, tertekan dan terhina.

Golongan ini serpihan kecil daripada pecahan masyarakat kita. Walaupun kita tak suka tapi hakikat kewujudan mereka tidak boleh dinafikan.

Mereka hidup dalam kalangan kita.

Mereka manusia, juga seperti kita.

Mereka ada hak yang sama sebagaimana kita.

Dan mereka juga ada tanggungjawab yang sama seperti kita.

Tidaklah kita ini lebih mulia daripada mereka. Begitulah sebaliknya.

Lihatlah bagaimana Islam dan kemodenan membuat rumusan.

"All men are equal".

Cuma bezanya ialah jalan cerita dan penamatnya nanti.

Ada lelaki lembut yang insaf dan bertaubat. Akhirnya menjadi lelaki sejati.

Ada juga yang memilih untuk hidup dalam dunianya. Mungkin masih belum cukup kuat melawan nafsu dan berdepan dengan kenyataan.

Tapi malang sekali, ada yang memilih untuk berjuang dalam lumpur. Menegakkan benang yang basah. Benangnya pula bergulung-gulung, tak nampak hujungnya.

Mereka inilah yang kononnya mahu menjadi 'fighter'. Kononnya mahu memperjuangkan hak mengamalkan cara hidup yang sangat canggung dengan nilai keagamaan dan tata tertib ketimuran.

Mereka melawan nas agama secara berdepan-depan. Seakan-akan bersedia menyarung sarung tangan, mahu mengajak Tuhan bertinju.

Jika ada yang berani-berani cuba menasihat, maka mereka juga berani membalas dengan 'nasihat'.

Berbeza dengan 'pondan' yang menjadi pekerja seks di hotel bajet. Di kamar kecil, kotor dan berbau hamis. Benar, kerja mereka terkutuk. Tetapi ada satu beza antara mereka dengan golongan 'fighter' ini.

Iaitu kebanggaan dan kemegahan.

Analoginya serupa dengan orang yang ponteng puasa. Ada yang sebulan tak pernah puasa, tapi dia makan sorok-sorok. Tapi ada yang berbangga dan menunjuk-nunjuk dengan cara makan di tempat awam. Dia bangga berjaya ponteng puasa. Dia puas, bila masyarakat mengecamnya.

Tidak seperti pondan yang menjual tubuhnya. Yang ada kerunsingan, rasa bersalah, dan keinginan untuk mendapatkan masa hadapan yang lebih baik.

Di saat mereka mahu melelapkan mata, hati mereka bersoal, "Sampai bila".

Bukan seperti saudarnya, yang sedang sibuk berbangga dengan "jantina" baharunya.

Berdosa, itu manusia.

Tapi bila berbangga, bongkak, 'show off',berlagak, dan mendabik dada dengan dosa, itu sudah bukan manusia.

#74 'I want to live with a dog'

#74 'I want to live with a dog'
Macam tak percaya. Seekor anjing boleh merosakkan banyak jiwa. Kerana seekor anjing, ada dituduh kafir. Ada juga yang dicaci maki. Ada yang bermusuhan, benci dan sakit hati.

Dalam isu anjing ini, semua orang cuba jadi juara. Baik pihak individu, tokoh pemimpin, atau badan berautoriti, semua mengimpikan kemenangan. Pihak media pula menjadi api dalam sekam. Tambah-tambah lagi media alternatif. Lagilah dia punya goreng tu sampai hampir saja berita itu menjadi hangit. Terlalu banyak minyak, terlalu marak api kebencian.

Bab pegang anjing, perbahasannya sudah beribu tahun diselesaikan oleh para ulama, ahli fiqah, ahli hadis, pakar budaya, pakar sejarah, ketua masyarakat, dan mufti negara. Hukumnya terang dan jelas. Tak perlu kanta pembesar. Tak perlu teleskop. Clear cut. Semua orang tahu.

Jika disentuh basah bertemu kering, atau kering bertemu basah, perlu sertu denga basuhan air tanah dan air bersih.

Tapi isu yang tular sekarang bukan lagi isu sentuhan. Tapi melarat kepada soal kasih, cinta, sayang. Soal membela, menjadikannya sebagai haiwan peliharaan, dan berbangga-bangga serta mempromosikan pula budaya yang janggal ini.

Ada yang ambil gambar.

Ada yang rakam video.

Persamaannya, untuk disebar luas dan provokasi kepada umat ini.

Kita suka haiwan. Itu sifat terpuji. Dalam teks agama pun banyak dikisahkan tentang balasan baik terhadap perbuatan ihsan kepada binatang. Ada pendosa yang diampunkan kerana perbuatan baiknya memberi minum kepada anjing. Ada ahli taat yang diazab kerana menzalimi haiwan dibelanya.

Dan ada hadis yang tidak ditolak daripada perawi yang mempermainkan lembu yang diternak. (Acah-acah nak beri makanan tapi dipermainkan). Bahkan ada juga hadis yang tidak diambil daripada orang yang suka menunggang kudanya dengan laju.

Berbuat baik kepada haiwan bukan sekadar kemanusiaan, tetapi petanda keagamaan.

Tapi dalam banyak kes, manusia menggunakan teks di luar konteks.

Seperti seorang tokoh liberal yang memetik teks al-Quran yang memperkisahkan pemuda-pemuda kahfi bersama anjing mereka. Jadi pada dia, ia adalah dalil. Solek sikit, potong sikit, tambah mana yang tak cantik, maka pufff... dalilnya boleh dipakai.

"Al-Quran mengiktiraf anjing. Kamu siapa, nak lebih berautoriti daripada al-Quran?"

"Kamu bukan Tuhan. Kamu bukan Nabi. Cis, dasar polis moral!"

Padahal dia lupa, anjing juga disebut di dalam al-Quran apabila Allah mahu menghina orang yang angkuh, sesat dan menjadi hamba kepada hawa nafsu. Allah menyindir mereka dengan perumpamaan seekor anjing yang lidahnya terjelir-jelir. Dihalaupun, menjelir. Dibiarkan, pun tetap menjelir.
Begitulah sesetengah kita.

Kita juga dilarang melihat sesuatu dalam kerangka yang sempit. Tetapi elemen manusiawi kita sering menyebabkan pandangan kita terhad kepada latar masa, tempat, dan budaya. Kerana kita sejak lahir dibiasakan dengan mazhab syafie maka memang secara lahiriah, kita cenderung berhukum dengan mazhab syafie.

Dalam mazhab kita, perbuatan 'sengaja' itu dikiran berdosa. Tapi dalam satu mazhab lain, ia cuma makhruh (sangat tidak elok).

Tapi sebagaimana saya sebut awal tadi, isu ini bukan lagi terbatas kepada keinginan 'I want to touch a dog' tetapi telah berkembang menjadi 'I want to live with a dog'.

Atau mungkin beberapa tahun lagi, 'with' itu boleh diganti dengan 'like'.

Islam dan keislaman di tanah air kita telah banyak berevolusi. Ada yang makin mirip sunnah, dan ada perkara yang makin jauh daripada sunnah.

Jika dahulu ibu bapa cukup marah anak gadisnya diusung jantan, tapi hari ini ibu bapa pula yang marah bila anak gadisnya tak mahu keluar dengan jantan.

Seperti itulah melayu berevolusi. Daripada bangsa yang cukup berhati-hati, menjadi bangsa yang melawan. Bukan melawan radikalisasi, tapi sebenarnya melawan nas dan hukum.

Budaya melayu dipandang enteng. Adat melayu dianggap remeh. Sebab itu jangan terkejut bila tokoh liberal, LGBT, atheis, dan seumpamanya, ialah orang melayu juga.

Orang yang tak suka agama 'yang lama'.

Orang yang suka agama yang 'dinilai semula'.

Orang yang rasa dirinya lebih faham agama.

Dan akhirnya jadilah seperti anjing yang menjelir lidahnya. Dinasihat, pun tetap menjelir. Dibiarkan, memang begitulah dia.


#73 The Others

#73 The Others
Saya sedang membaca buku tulisan Ustaz Hasrizal bertajuk 'Setia Dengan Kebenaran', hingga saya bertemu dengan istilah 'the others'.

Istilah ini tidaklah asing pada saya kerana walau perkataannya berbeza, maksudnya rata-rata serupa. Pihak 'satu lagi' yang dianggap asing. Perlu ditengang. Perlu dimusuhi.

Ia adalah sebuah 'reality check' kepada kita semua. Betapa masyarakat kita terlalu bersikap 'self-rightous'.

Aku sahaja yang betul. Orang lain salah.

Aku sahaja yang mengikut sunnah. Orang lain semua ahli bid'ah.

Atau,

Aku sahaha yang mengikut sunnah, yang lain semuanya wahabi.

Betapa banyak ukhuwah yang terputus dengan label wahabi dan ahli bida'ah ini.

Dan betapa ramai manusia yang bermusuhan kerana lidah dan jari mereka tidak tahan daripada memberi label.

Wahabi, terkeluar daripada ASWJ. Masuk neraka, kata kita.

Ahli bida'ah, tersesat. Masuk neraka, juga kata kita.

Penatlah berbalah tentang isu 'the others' ini. Janganlah kerana kita tak bersetuju dengan pendapatnya, maka dia salah dan kita betul. Kebenaran ialah perkara haqiqi, bukannya persepsi. Ada perkara kita sangka kita benar, tapi boleh jadi kita salah.

Begitulah sebaliknya.

Mungkin di saat kira rasa kita tahu tentang sesuatu, kita perlu merendahkan diri seketika. Kerana ada orang yang lebih tahu tentang sesuatu.

Contohnya isu membaca lafaz niat sebelum solat. Kita dengar daripada satu sumber sahaja, mengatakan ia bukan perbuatan Nabi. Jadi kita menyimpulkan ia bukan tuntutan dan bukan sunnah.

Di saat kita mahu 'berbuat hingar' tentang 'ilmu baharu' kita, elok kita bertenang dahulu. Kerana di saat kita rasa kita tahu, rupanya alim-ulama lain sudah lebih tahu. Para imam mujtahid sudah lama menyimpulkan sesuatu hukum dan kesimpulan.

Menyimpulkan, seperti kita membuat simpulan pada kain pelikat yang kita pakai.

Bila kita cuba nak membuka 'simpulan' itu, takut nanti kain akan terlondeh, dan aib kita akan ternampak!

Sebab itu tolonglah jangan terlalu ghairah menjadi 'the others'. Tak semestinya 'ilmu baharu' yang kita dapati itu benar-benar ilmu.

Kerana ilmu ialah cahaya. Dan orang yang berilmu sepatutnya makin takut kepada Allah. Bukannya makin takut kepada bayang-bayang sendiri.

Ingat, menjaga ukuwwah ialah tuntutan agama. Menghancurkannya, ialah ancaman agama.


#72 Malam al-Qadr dan poligami

Hari ini 20 Jun 2017 bersamaan 25 Ramadhan 1438 hijrah. Sepatutnya bila masuk 10 malam terakhir bulan Ramadhan, orang hanya akan berpesan-pesan supaya membanyakkan amalan dan bersungguh-sungguh mencari malam al-qadr.

Tapi saya sengaja nak bercakap tentang poligami sebab tak ramai yang mahu kaitkan poligami dengan bulan ramadhan.

Saya selalu mendengar perbualan orang dewasa yang dah lama berkahwin dan beranak pinak, tentang gurau-gurau perihal 'buka cawangan baru'. Saya tahu mereka bergurau. Ketawa berhambur. Tapi dalam hati siapa tahu.

Salah satu falsafah puasa disebalik menahan makan dan minum, adalah menahan kemaluan daripada berjimak di siang hari.

Jimak suami isteri ini halal. Bahkan dalam beberapa situasi, berpahala pula.

Tetapi tidak di bulan Ramadhan. Jika berjimak pada siang hari, hukumannya bukan setakat berdosa dan perlu ganti (qada') tetapi perlu kafarah berupa berpuasa 2 bulan berturut-turut!

Jika ianya kesalahan yang ringan, mengapa 'hukumannya' begitu berat?

Melainkan kita perlu sedar, ini adalah kesalahan yang serius.

Di dalam hadis yang lain pula menyebutkan Nabi S.A.W apabila masuk 10 malam terakhir, Baginda akan 'mengikat kain ketat-ketat', sebagai petanda Baginda mahu fokus beribadah dan 'menjauhi' isterinya.

Suatu hari, saya dan isteri sedang berbaring menonton Tv. Tiba-tiba isteri saya memandang saya, lama. 

"Bang"

"Ya", mata saya masih di kaca televisyen.

"Abang nak kahwin lain tak?", soalnya tiba-tiba.

Saya terkejut bercampur hairan.

"Tak. Kenapa tiba-tiba tanya soalan pelik ni?", gesa saya.

"Tak ada apa-apalah", balasnya pendek. Riak wajahnya sukar nak dibaca.

Lalu saya pegang tangannya dan berkata dengan jujur, "Sayang, abang ada seorang isteri pun dah syukur sangat. Seorang isteri ini pun dah susah nak dijaga. Tak pernah terdetik pun abang nak kahwin lain".

Dia senyum. Saya anggap dia percaya.

Sunnah poligami ialah sunnah ekslusif. Ekslusif kepada orang yang mampu dan berkemampuan. Cukup masanya. Cukup pendapatannya. Cukup kematangannya. Cukup semua aspek.

Barulah boleh tambah cawangan.

Kadang-kadang abang-abang yang sibuk nak berpoligami ini, solatnya pun tunggang langgang. Hutang pun keliling pinggang. Kaki Weechat, Instagram, Facebook pula tu.

Mana takwanya?

Kerana itulah Ramadhan datang untuk didik nafsu kita. Pengajaran buat kita, bahawa benda yang halal pun perlu berpada-pada. Makan dan minum itu halal. Tapi haram semasa solat dan puasa.

Jimak dengan isteri pun halal, tapi haram semasa haid dan siang hari bulan Ramadhan. Untuk info, ada sesetengah orang cuba nak 'tipu' jadi dia makan dulu (ponteng puasa) kemudian baru jimak. Apa hukum orang macam ni?

Jawabnya, menurut jumhur ulama, orang itu masih dikenakan kafarah. Hanya pada sisi mazhab syafie sahaja orang itu tak perlu kafarah, cukup dengan qada' sahaja.

Saya berharap abang-abang yang bercita-cita untuk berpoligami, boleh menggunakan kesempatan berada di dalam bulan yang mulia ini untuk berfikir sejenak. Jika mahu mengikut sunnah, ikut betul-betul. Jangan bersikap selektif.

Kerana banyak dah masalah yang timbul kerana poligami. Kita tak mahu masalah yang sedia ada bertambah. Kita mahu makin selesai.

Fokus dan syukur dengan apa yang ada.

Jangan rakus kepada apa yang belum ada.